Sabtu, 10 Mei 2014

Penjenayah Guna Kuku Kambing Umpil Pintu


SUBANG JAYA: Empat lelaki bersenjatakan parang dan kuku kambing melarikan wang tunai kira-kira RM30,000 dari sebuah premis pengurup wang di Jalan SS15/5A, Subang Jaya, pagi Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua berkata, dalam kejadian 8.45 pagi itu, tiga daripada empat suspek memasuki premis itu setelah mengumpil pintu menggunakan kuku kambing dan mengugut seorang pekerja yang berumur 50 tahun supaya menyerahkan wang.
Seorang lagi suspek berada di dalam kereta memerhatikan keadaan di luar premis.
"Setelah mendapatkan wang, kesemua suspek keluar daripada premis itu dan turut melarikan pekerja berkenaan dengan menaiki Proton Waja berwarna emas.
"Mangsa dilapor dipukul di dalam kereta sebelum ditinggalkan di sebuah perhentian bas berdekatan kompleks membeli-belah Subang Parade," katanya.
Beliau berkata polis sedang mengesan suspek melalui rakaman kamera litar tertutup yang terdapat dalam premis berkenaan.
Adik kepada pengurus premis itu, Mohd Helmi Hamid, 28, berkata kejadian tersebut pertama kali berlaku dalam tempoh 10 tahun sejak premis itu beroperasi.
"Awal tahun lalu, terdapat cubaan samun tetapi penjenayah gagal mengumpil pintu premis," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...