Jumaat, 16 Mei 2014

TUKAR CERMIN GELAP: POLIS BAGI TEMPOH SEHINGGA 15 JUN INI

Tak Kompromi Isu Rasuah

Bukit Aman, 15 Mei – Pihak polis telah menetapkan tempoh sehingga 15 Jun ini kepada setiap pemandu untuk mematuhi spesifikasi penggunaan cermin gelap bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.

Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, SAC Mohd Fuad Abd Latiff berkata semua pemilik kenderaan yang bercermin gelap dan tiada kelulusan sah diwajibkan untuk menanggalkan lapisan filem gelap tersebut mulai hari ini.

Menurutnya, Operasi Cermin Gelap akan dilaksanakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 16 Jun ini dan pesalah akan dikenakan denda maksima RM300.
Dalam pada itu, tempoh yang sama turut dikenakan terhadap semua pemilik kenderaan yang memiliki nombor pendaftaran yang diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh JPJ.

Sementara itu, usaha pihak polis dalam membendung kegiatan samseng jalanan di mana lokasi-lokasi yang sering dijadikan tempat melakukan aktiviti tidak bermoral sentiasa dipantau dan pelbagai operasi akan terus digiatkan khususnya pada minggu.

“Sepanjang Januari sehingga April 2014, sebanyak 304 operasi telah dijalankan di seluruh negara serta seramai 105 orang telah ditangkap dan daripada jumlah tersebut, 76 orang telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam sidang media yang sama, SAC Mohd Fuad turut menegaskan bahawa tiada peruntukan undang-undang berkaitan tugasan ‘marshall’ di jalan raya.

“Sekiranya mana-mana individu atau kumpulan yang menjalankan tugas ‘marshall’ tanpa kehadiran Polis Trafik, mereka boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 21(3) Akta Polis atau Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan,” tambahnya lagi.

“Keperluan bantuan tugas ‘marshall’ mestilah dengan kehadiran rasmi Polis Trafik dalam acara kebangsaan atau antarabangsa seperti acara berbasikal Le Tour de’ Langkawi dan Jelajah Malaysia,” jelasnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...