Jumaat, 27 Jun 2014

Kad kuasa modal peras warga asing



PEMANTAUAN JUGA PERLU DIBUAT KE ATAS NGO-NGO SEPERTI RCJ DSBNYA

DUNGUN – Seorang anggota sukarelawan yang menyalahgunakan kad kuasa untuk memeras ugut warga asing bukan sahaja gagal menikmati habuan diperoleh, sebaliknya terpaksa bermalam di lokap selepas dia ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, kejadian berlaku 12 Jun lalu, kira-kira jam 1 pagi di sebuah rumah kongsi dekat Paka apabila penghuninya tiga warga Indonesia didatangi tiga lelaki tidak dikenali memakai jaket hitam serta topi lambang polis.

Menurutnya, tiga lelaki itu memberitahu ingin membuat pemeriksaan dokumen, lalu mangsa meminta mereka menunjukkan kad kuasa polis,  namun mereka gagal berbuat demikian sebelum salah seorang daripadanya menunjukkan kad kuasa Rela bagi meyakinkan mangsa.


"Selepas itu suspek telah merampas pasport milik mangsa, selain wang tunai RM140 dan alat pemotong kayu serta besi.


"Suspek juga mendesak agar mangsa menyerahkan wang jika ingin mendapatkan kembali pasport yang dirampas itu," katanya pada satu sidang media, dekat sini, petang semalam.

Ahmad Zailani berkata, susulan itu pada 24 Jun kira-kira jam 9 pagi, mangsa sekali lagi didatangi dua lelaki tidak dikenali termasuk seorang daripadanya dipercayai suspek sama yang terlibat dalam kes pertama pada 12 Jun lalu.

Katanya, suspek dikatakan cuba menyerahkan kembali pasport yang dirampas dengan syarat mangsa menyerahkan sejumlah wang tunai, namun mangsa gagal memenuhi permintaan suspek.

"Mangsa yang bekerja sebagai buruh warga Indonesia bagaimanapun berjaya merakamkan gambar kenderaan Naza Citra yang dinaiki suspek lalu pergi membuat laporan polis di Balai Polis Paka.

"Polis yang melakukan siasatan berjaya menjejaki suspek berdasarkan maklumat kenderaan dinaiki dan berjaya menahan mereka di Kampung Cacar Paka kira-kira jam 12.15 tengah hari," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat, polis juga berjaya menemui semula tiga pasport yang dirampas daripada mangsa.

Menurutnya, lima suspek termasuk seorang daripadanya mempunyai taraf penduduk tetap beralamat di Santong serta seorang anggota Rela berusia 20 tahun dari Paka kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 385 dan 170 Kanun Keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...