Sabtu, 7 Jun 2014

Muslim dalam gereja bukan di Malaysia


SHAH ALAM – Polis mengesahkan gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan sekumpulan individu didakwa orang Islam terlibat dalam aktiviti keagamaan di sebuah gereja bukan berlaku di negara ini.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara, Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad berkata, penyebaran gambar-gambar berkenaan telah mencetuskan ketidaktenteraman dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Penyebaran gambar-gambar melalui media sosial yang seakan-akan cuba membayangkan bahawa sekumpulan Muslim terlibat dalam aktiviti keagamaan di sebuah gereja telah mencetuskan kegusaran dan ketidaktenteraman di kalangan masyarakat Islam di negara ini.


“Adalah disahkan bahawa gambar-gambar tersebut bukan melibatkan sebarang rakaman upacara yang berlaku di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis tidak menerima sebarang laporan terhadap isu tersebut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang bahan yang tidak sahih.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak memuat naik atau menyebar sebarang bahan yang tidak sahih melalui media sosial kerana ia berupaya menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Gambar-gambar yang tersebar menunjukkan sekumpulan lelaki dan wanita bertudung melakukan aktiviti keagamaan di dalam gereja.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...