Selasa, 10 Jun 2014

PENCURI TIDAK MENGENALMANGSA


HULU TERENGGANU - Malang tidak berbau. Demikian situasi dialami Imam 1 Masjid Kampung Butut dan seorang makmum apabila kereta diparkir di pekarangan masjid berkenaan, dipecah pencuri ketika mereka sedang menunaikan solat Subuh, semalam.

Bagaimanapun, kejadian tersebut hanya diketahui imam berkenaan, Ramly Jusoh, 60 dan makmum, Syed Ibrahim Syed Hitam, 77, kira-kira jam 6.45 pagi setelah dimaklumkan jemaah lain selepas selesai tazkirah Subuh.

Difahamkan, kes pecah masuk kenderaan pertama kali berlaku di masjid berkenaan memandangkan selama ini, hanya tabung masjid yang kerap menjadi sasaran pencuri. Kejadian pertama babitkan pecah kenderaan

Ramly berkata, beliau tersentak apabila dimaklumkan kereta Mercedes Benz miliknya yang diparkir di tempat khusus untuk imam, dipecah masuk apabila jemaah ternampak kaca bertaburan dengan keadaan cermin pintu sebelah kiri bahagian hadapan pula pecah.

Menurutnya, kejadian tersebut pertama kali berlaku sepanjang hampir 20 tahun beliau bertugas di masjid berkenaan.

"Gara-gara kejadian ini, beberapa dokumen termasuk buku-buku bank, segugus kunci dan sebuah telefon bimbit yang diletakkan dalam sebuah beg, hilang.

"Saya tidak menolak kemungkinan perbuatan ini dilakukan pencuri bermotosikal kerana saya diberitahu, ada makmum terdengar bunyi motosikal ketika saya mengimamkan solat Subuh pagi tadi (semalam). Namun, bunyi itu hanya seketika, mungkin sewaktu pencuri berkenaan ingin berlalu dari kawasan masjid.

“Sebelum ini tabung masjid jadi sasaran, kali ini kereta pula. Namun, saya anggap semua ini ujian daripada-Nya dan berharap ia tidak akan berulang kerana masjid adalah tempat beribadah, bukannya untuk melakukan perkara bertentangan dengan agama,” katanya.

Al-Quran dalam kereta turut lesap

Sementara itu, Syed Ibrahim pula berkata, cermin pintu sebelah kiri bahagian belakang Proton Iswara diparkir di hadapan pintu masuk masjid berkenaan, turut dipecahkan pencuri sekali gus menyebabkan dia kehilangan senaskhah al-Quran besar yang diletakkan di dalam beg.

“Jarak kereta saya dengan imam hanya beberapa meter. Beg berisi al-Quran tersebut diletakkan di tempat duduk penumpang belakang dan mungkin pencuri merembatnya kerana beranggapan terdapat barang bernilai.

“Kes kecurian di sini bukan perkara luar biasa kerana ia kerap berulang terutama melibatkan tabung masjid. Malah sebelum ini tabung masjid turut dilarikan, namun dihantar semula beberapa hari kemudian dengan meletakkannya di tepi dinding dalam masjid. Banyak juga tabung rosak akibat dikopak pencuri.

"Sehingga kini, lebih 10 kali kecurian berlaku termasuk beberapa kes curi motosikal dan kini, kereta pula jadi sasaran,” katanya.

Orang ramai perlu berhati-hati: Mohd Rosli

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada jam 6.53 pagi semalam di Balai Polis Kuala Berang.

Kata beliau, sebagai langkah keselamatan, orang ramai diingatkan agar tidak meninggalkan barang berharga atau beg di dalam kenderaan bagi mengelakkan ia menjadi sasaran pencuri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...