Khamis, 26 Jun 2014

Premis jual ikan masin jadi pusat judi bola


KUALA TERENGGANU - Taktik seorang tauke ikan masin menjalankan sindiket judi bola sempena Piala Dunia 2014 dengan berselindung di sebalik premis perniagaannya terbongkar apabila premis yang terletak di Jalan Tok Lam, di sini, diserbu polis, tengah hari kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu, lelaki berusia 46 tahun itu turut ditahan kerana dipercayai menjadi ejen bookie.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, serbuan yang dilakukan hasil maklumat orang awam turut menemui beberapa peralatan mengatur perlawanan.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis berjaya menjumpai satu set komputer yang mempunyai sambungan ke internet terletak di bahagian ruang tamu premis, dipercayai digunakan oleh suspek untuk membuat pertaruhan bola sepak.


“Selain satu set komputer, kita turut merampas satu modem, dua telefon bimbit, satu beg sandang, satu buku nota kecil tercatat rekod pertaruhan dan jadual perlawanan, beberapa helai kertas putih tercatat angka-angka catatan pertaruhan dan wang tunai campur-campur bernilai RM1,045,” katanya dalam satu sidang media, semalam.

Wan Abdul Aziz berkata, hasil siasatan awal, lelaki terbabit mendedahkan dia akan mengambil nilai pertaruhan antara RM100 hingga RM300 bagi setiap perlawanan.

“Dia juga turut memaklumkan kaki judi yang berminat boleh membuat pertaruhan sama ada melalui telefon atau berhubung terus dengannya,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis memberkas tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar berusia antara 25 hingga 26 tahun dalam serbuan di sebuah kafe siber di Jalan Sultan Ismail, di sini, awal pagi semalam, kerana terlibat dalam perjudian jenis online.

Wan Abdul Aziz berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas dua set komputer, satu unit modem Wifi, dua kerusi dan wang tunai campur-campur berjumlah RM50.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (C) Akta Pertaruhan 1953 yang membawa hukuman denda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak lebih dari RM200,000 dan boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun, jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...