Ahad, 20 Julai 2014

#OPS CANTAS KHAS: GENG DIDI TUMPAS DI TEMERLOH


Temerloh, 19 Julai - Dua penjenayah paling dikehendaki yang dipercayai mempunyai rangkaian jenayah di beberapa negeri, mati ditembak dalam 'Ops Cantas Khas' di Jalan Kampung Bangau Tanjung dekat sini malam tadi.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata dalam kejadian berbalas tembak kira-kira pukul 10 malam ituseorang lagi anggota kumpulan yang dikenali sebagai 'Geng Didi' turut cedera manakala seorang lagi dapat melarikan diri.


"Kesemua empat suspek ini menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna kelabu yang ditahan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) Bukit Aman berhampiran Hotel Sri Malaysia di sini kerana dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Semasa pihak polis memperkenalkan diri mereka, tiba-tiba seorang suspek yang duduk di belakang kereta bertindak melarikan diri sebelum kereta tersebut meluru melanggar kenderaan polis.


"Kereta itu kemudiannya dipandu laju bagi melarikan diri menyebabkan pihak polis terpaksa menembak tayarnya untuk menghentikannya. Namun penjenayah terbabit terus memecut kenderaan mereka," katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Mohmad berkata dalam tindakan penjenayah itu, mereka turut menghimpit dan melanggar tiga buah kenderaan polis sehingga menyebabkan berlaku kerosakan.


"Bagaimanapun pihak polis kemudiannya berjaya memintas kereta penjenayah kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian dan ketika hendak melakukan pemeriksaan, suspek secara tiba-tiba melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis.


"Pihak polis terpaksa membalas tembakan sehingga ancaman terhenti. Pada masa yang sama seorang suspek dilihat cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap.


"Polis yang memeriksa kereta penjenayah mendapati pemandu dan penumpang hadapannya telah mati akibat terkena antara tiga hingga empat das tembakan," katanya.


Beliau berkata seorang suspek yang mati dipercayai ketua kumpulan itu yang dikenali sebagai Mohd Fahmi Hisham Rahim, 28, berasal dari Taman Kluang, Johor yang memiliki 12 rekod jenayah lampau dan enam dikehendaki polis Kedah, Perak dan Selangor.


Mohmad berkata seorang lagi suspek yang mati dikenali sebagai Mohd Shazmier Mohd Yusof, 24, dari Paya Pulai dan turut memiliki empat rekod jenayah berkaitan cubaan bunuh, dadah dan samun.


Manakala suspek yang cedera terkena tembakan di betis kanan ialah Firdaus Mustafa 24, dari Sungai Petani, Kedah dan mempunyai satu rekod berkaitan cuba bunuh di Kedah.


Beliau berkata dia kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah di sini untuk menerima rawatan.


"Pemeriksaan di dalam kereta itu juga turut menemui antara lain sepucuk pistol jenis revolver 38 Smith & Wesson, sebilah pisau, parang, dua kuku kambing, playar, pemotong besi dan satu ragum kakak tua," katanya.


Siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki suspek merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang kira-kira pukul 11 pagi hari yang sama (semalam) di Triang, Bera.


Mohmad berkata polis sedang menjejaki saki baki anggota kumpulan itu yang dipercayai aktif sejak tujuh tahun lepas dan dengan tertumpasnya geng berkenaan, pihak polis percaya telah menyelesaikan 10 kes samun, (1) kes cuba bunuh di Kedah, (3) kes samun di Perak, (1) kes cuba bunuh di Selangor dan (1) kes curi kenderaan di sini. – BERNAMA


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...