Isnin, 21 Julai 2014

PDRM DAN SHELL MALAYSIA KOMITED BANTERAS JENAYAH


Shah Alam, 18 Julai - Perubahan landskap negara serta cabaran-cabaran semasa telah membawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada perubahan selaras dengan kehendak dan ekspektasi masyarakat yang sentiasa menaruh harapan penuh kepada PDRM dalam memberi jaminan keselamatan yang mapan kepada masyarakat.


Justeru itu, PDRM melalui inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan National Key Result Areas (NKRA) telah mencetuskan pelbagai inisiatif terutamanya berkolaborasi dengan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan setiap program yang dicanang berjalan lancar dan mencapai objektif dengan jayanya.


Antara inisiatif yang diambil ialah melalui Kempen 1Aman (All Malaysia All Neighbourhood) NBOS 8, iaitu "Go To Safety Points" yang dilancarkan di Stesen Shell Lebuhraya Persekutuan petang tadi, PDRM akan berkolaborasi bersama Syarikat Shell Malaysia yang memiliki lebih 900 rangkaian stesen minyak seluruh negara.


Menurut YDH Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar stesen minyak tersebut dilengkapi dengan sistem pemberitahuan pengawasan kecemasan yang dipanggil 'i-Alert', di mana ia akan berfungsi sebagai ‘silent alarm’ sekiranya berlaku sebarang kecemasan di stesen minyak berkenaan.


"Melalui kerjasama ini, saya yakin dan percaya segala usaha-usaha murni ke arah mewujudkan komuniti yang lebih selamat, akan menjadi kenyataan."


"Beberapa siri latihan khusus kepada pegawai polis, pengusaha stesen minyak dan pekerja diberikan bagi membantu masyarakat yang menghadapi masalah, terutamanya yang berkaitan dengan jenayah," katanya lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...