Khamis, 10 Julai 2014

Pengawasan kediaman maklum polis melalui online

Melaka: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mewujudkan perkhidmatan atas talian bagi memudahkan orang ramai memaklumkan butiran peribadi kepada pihak berkuasa untuk pengawasan kediaman mereka sepanjang musim perayaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya yakin platform baru yang diperkenalkan itu mampu membantu menangani kejadian jenayah di kawasan perumahan daripada terus meningkat. 
"Jika sebelum ini orang ramai perlu ke balai polis berhampiran untuk memaklumkan ketiadaan mereka di rumah namun dengan adanya perkhidmatan atas talian ini ianya akan memudahkan pergerakan serta menjimatkan masa. 

"Perkhidmatan ini diwujudkan sebagai tanda keprihatinan kita terhadap keselamatan kediaman dan harta benda yang ditinggalkan sewaktu pulang beraya. Selain PDRM kita akan minta kerjasama daripada kumpulan komuniti polis yang berada di bawah KDN seperti Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau sukarelawan kawasan perumahan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama warga KDN di Kompleks KDN di Ayer Keroh, di sini, sebentar tadi.

Ahmad Zahid, beliau sudah meminta Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan semua pengarah jabatan di Bukit Aman serta ketua polis negeri untuk memulakan Ops Selamat pada seminggu sebelum dan selepas hari raya.

"Bagi memastikan keberkesanan Ops Selamat pada kali ini, kita akan menjalinkan kerjasama yang mantap bersama PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT). 

"Seramai 1,400 pegawai dan anggota JPAM akan ditugaskan untuk memantau kawasan yang tidak terbabit dalam Ops Selamat. 

"Ini termasuklah pemantauan dan menempatkan bantuan paramedik di lokasi yang berisiko dan jalan alternatif yang biasanya digunakan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman masing-masing," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, pihaknya sudah meminta Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya menyegerakan sijil kelahiran MyKid dan MyKad kepada sembilan adik beradik yang kehilangan abang sulung mereka yang maut selepas dibelasah bapa mereka di Alor Gajah baru-baru ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...