MELAKA: Dua lelaki termasuk seorang pegawai bank pada Khamis
ditahan selepas disyaki terlibat melakukan penggubahan wang haram membabitkan
nilai RM19.2 juta.
Kedua-dua-dua lelaki terbabit ditahan
sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Jabatan
Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman kira-kira 3 petang ketika hadir untuk
memberi keterangan mengenai kes itu di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri
di sini.
Kedua-dua lelaki berusia 26 itu
dipercayai merupakan rakan subahat suspek utama yang merupakan seorang pengurus
unit di sebuah bank berusia 29 tahun yang kini dalam buruan polis.
Ketua Penolong Pengarah bahagian itu,
Datuk Ahmad Marzuki Mohd Saad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
"Mereka akan didakwa di Mahkamah
Ayer Keroh esok mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan
Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001," katanya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan
seorang guru wanita daripada keluarga berada yang membuat simpanan tetap di
sebuah bank di Melaka, kerugian RM19.2 juta setelah dipercayai ditipu sindiket
yang didalangi seorang pengurus bank.
Wanita berusia 48 tahun itu membuat
simpanan antaranya dalam bentuk cek, bank draf dan tunai melibatkan 81
transaksi sejak 2010 selepas suspek dipercayai menawarkan kadar bunga yang
tinggi untuk simpanan tetap.
Hasil siasatan awal polis mendapati
suspek dipercayai membuat satu akaun lain menggunakan nama wanita itu untuk
memindahkan wang berjumlah RM19.2 juta melalui Internet ke tiga akaun lain
milik tiga lelaki.