SHAH ALAM, 1 Ogos (Bernama) -- Empat suspek yang dipercayai
meletupkan mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Bukit Beruntung
dekat sini Rabu lepas diberkas semalam.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar
berkata mereka yang berumur lingkungan 30-an diberkas dalam dua serbuan di
Tanjong Karang dan Puchong.
"Polis turut merampas sebuah kereta. Seorang suspek
didapati mempunyai rekod jenayah lampau yang sama yang dilakukannya di
Jenjarom, Subang Jaya, Puchong dan Shah Alam,
Beliau berkata kumpulan itu dipercayai aktif
sejak tahun lepas dan modus operandi mereka ialah menggunakan bom buatan
sendiri yang berasaskan mercun.
"Bahan yang digunakan untuk meletupkan mesin ATM
tersebut dipercayai meletup lebih awal," katanya.
Abdul Rahim berkata seorang lagi suspek dilihat sempat
melarikan diri dengan motosikal jenis 'scrambler'.
Beliau berkata keempat-empat suspek yang ditahan itu direman
selama tujuh hari sehingga Khamis ini.
Dalam kejadian itu, kumpulan penjenayah tersebut gagal
memecahkan tiga mesin ATM dan beberapa mesin lain yang terdapat di pusat
perkhidmatan bank berkenaan.
Sementara itu Abdul Rahim berkata belum terdapat tangkapan
dibuat berhubung kejadian 10 lelaki mengamuk dan mencederakan beberapa
pengunjung kafe siber di Taman Bayu Perdana, Klang semalam.