Rabu, 6 Ogos 2014

KUMPULAN PERTAMA PASUKAN PETUGAS MH 17 PDRM TERKANDAS


SOLEDAR, UKRAINE 5 Ogos – Salah satu kumpulan pertama Pasukan Petugas MH 17 PDRM terdiri daripada 14 pegawai dan anggota yang sedang dalam perjalanan ke lokasi nahas, terkandas akibat keadaan keselamatan yang tidak mengizinkan ekoran pertempuran di antara tentera Ukraine dan puak pemisah, hari ini.

Mereka kini berada di satu kawasan lain berhampiran lokasi nahas dan sedang menunggu arahan selanjutnya. 

Situasi serupa juga berlaku pada kumpulan yang sama semalam ketika mereka cuba memasuki kawasan nahas di mana perjalanan yang bermula seawal jam 9.30 pagi dari Forward Operating Base (FOB ) tergendala akibat pertempuran yang berlaku di kawasan berdekatan. 


Kumpulan ini hanya berpeluang memasuki lokasi nahas dan diarah ke satu lagi tempat yang berhampiran pada jam 2.30 petang hingga 4.00 petang waktu tempatan. 

Inspektor Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar, Ketua Polis Negara semasa ditemui pemberita luar negara di FOB berkata bahawa kawasan nahas pesawat tersebut adalah terdedah kepada gangguan penduduk tempatan. Justeru PDRM bersama Australia dan Belanda akan berusaha sedaya upaya untuk membawa pulang barang-barang milik mangsa nahas dan mayat sekiranya dijumpai. 

Kawasan nahas merangkumi keluasan 15 km persegi dan keadaan ini telah mewujudkan satu cabaran kepada semua pasukan petugas tersebut. PDRM terpaksa menempuhi 10 sekatan tentera Ukraine dan 4 sekatan puak pemisah sebelum memasuki kawasan pencarian iaitu di lokasi nahas MH 17.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...