IPOH, 28 Ogos (Bernama) --
Seorang pegawai polis dikenakan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari
ini selepas didapati bersalah menerima suapan RM300 dua tahun lepas.
Hakim
Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap ASP Shuib Abdul Samad @
Zainul dan memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar
denda.
Tertuduh
yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah
Kuala Kangsar didakwa menerima suapan itu dengan tiada balasan daripada Tan
Tiong An.
Shuib
mengetahui mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi sebagai Ketua Bahagian
Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuala Kangsar yang mana Tan ditahan pada 12
Jun 2012 kerana disyaki penagih dadah.
Dia
melakukan kesalahan itu di Restoran Dila Tomyam, No 5 Gerai MPKK Medan Selera,
Stesen Keretapi, Jalan Raja Idris dekat Kuala Kangsar, pukul 1.20 petang pada 5
Julai 2012.
Dia
didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang
membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya
sekali.
Pendakwaan
dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Ashok
Athimulan.
Shuib
yang telah berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 29
tahun, ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana tidak dikenakan hukuman
penjara.
"Jika
diberi peluang saya akan bekerja sebagai anggota polis hingga pencen dan saya
akan berkhidmat dengan sebaik mungkin," katanya.