Selasa, 23 September 2014

Polis Rampas 'Submachine Gun' Jenis Uzi


JOHOR BARU: Sebelum ini, senjata seperti parang, revolver mahupun pistol menjadi pilihan penjenayah tempatan.

Namun, kini, penjenayah dilihat memperkasakan diri mereka dengan senjata api yang canggih untuk menimbulkan ketakutan.

Pada 29 Ogos, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun bersama-sama selaras 'submachine gun' (SMG) jenis Uzi - digunakan di seluruh dunia sebagai senjata api oleh polis dan pasukan khas - di Sungai Petani, Kedah.

Menurut polis persekutuan, rampasan terhadap senjata api buatan Israel itu daripada suspek berusia 26 tahun tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan agensi penguat kuasa bahawa terdapat penjenayah mempunyai akses kepada senjata canggih.

Sementara itu, dalam Ops Cantas khas dari 15 hingga 17 September lalu di Seri Alam dan Kota Tinggi, Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Johor telah menemukan dua laras SMG jenis AK47.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Salleh telah memberi amaran kepada semua agensi kerajaan, khususnya Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen dan unit pencegahan penyeludupan untuk mencegah kemasukan senjata api seperti itu ke negara ini. 

Bercakap pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini Isnin, beliau berkata polis sudah menubuhkan unit khas iaitu Unit Risikan Sempadan (URS) tiga bulan lalu bagi mencegah penyeludupan senjata berbahaya seperti itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...