Georgetown:
"Usah bersikap kurang ajar dengan menubuhkan pertubuhan atau persatuan
tanpa merujuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) terlebih dahulu," tegas Menteri
Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Klik).
Ahmad Zahid
berkata, pihaknya tidak memerlukan pertubuhan atau persatuan lain yang cuba
mengambil alih tugas polis kerana ia adalah di bawah bidang kuasa kerajaan
pusat.
Beliau berkata,
pihaknya tidak menafikan sememangnya amat memerlukan bantuan orang ramai
termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencegah jenayah tetapi tidak bersikap
seperti samseng dan kurang ajar seperti mana yang dilakukan anggota Pasukan
Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan baru-baru ini.
Pihaknya tidak akan
bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan mereka
tidak akan terlepas menerima hukuman yang setimpal.
"Pengesahan
anggota PPS yang memiliki rekod jenayah tidak akan terlepas daripada tindakan
undang-undang malah senarai nama 10,000 orang ahli PPS yang diberikan akan
ditapis dan disemak," katanya.
Ahmad Zahid
berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas secara profesional dan
berlandaskan undang-undang yang ditetapkan.
Pertubuhan yang
dianggotai oleh samseng dan ahli kongsi gelap perlu diperangi secukupnya.
"Semua pihak
termasuk Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri
diminta menjalankan tindakan kepada semua tanpa mengamalkan tindakan terpilih.
"PDRM setia
kepada kerajaan yang memerintah dan tidak akan langgar undang-undang tetapi
jika undang-undang dilanggar apatah lagi oleh Ahli Parlimen atau seorang Ketua
Menteri, tindakan tetap diteruskan," katanya.