Jumaat, 24 Oktober 2014

PEGAWAI KANAN POLIS S'WAK ANTARA 10 DITAHAN UNTUK SIASATAN RASUAH KES CURI BALAK

TAHNIAH, TAHNIAH DAN TAHNIAH SPRM.
KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Seorang pegawai kanan polis di Sarawak, adalah antara 10 yang ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah berhubung kegiatan mencuri balak yang membabitkan kerugian RM43 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull  berkata pegawai terbabit berpangkat Ketua Bahagian Siasatan Jenayah berumur 35 tahun itu bertugas di Ibu Pejabat Polis di sebuah daerah di Sarawak kerana menerima rasuah daripada pembalak haram berjumlah RM16,000.
"Dia ditahan bersama sembilan lagi individu yang antaranya memegang jawatan pengarah urusan dan pemilik syarikat pembalakan membabitkan 10 syarikat, dalam Ops Tukul (Sumber) di Kuching, Isnin lepas.

"Mereka yang ditahan itu berumur antara 28 dan 72 tahun dipercayai menerima suapan bernilai di antara RM300 hingga RM10,000 bagi setiap transaksi melibatkan kira-kira RM50,000 secara keseluruhan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Mohd Shukri berkata hasil risikan selama sembilan bulan di 12 lokasi di Limbang, Sibu dan Ulu Baram, Lundu, Kapit dan Miri di Sarawak mendapati kegiatan mencuri balak itu memang berlaku di kawasan terbabit.
"Ops Tukul dijalankan secara bersepadu itu dengan kerjasama antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Hutan Sarawak sejak awal tahun ini," katanya.
Mohd Shukri berkata dalam operasi itu juga, pihaknya telah menyita lebih kurang 30 akaun pemilik syarikat yang terlibat bernilai lebih RM18 juta.
Beliau berkata, dalam setahun kerajaan negeri mengalami kerugian dianggarkan RM100 juta akibat kegiatan pembalakan haram itu yang memusnahkan alam sekitar, kawasan tadahan air dan menjejaskan flora dan fauna.
Kegiatan itu dilakukan di luar kawasan pembalakan yang dibenarkan dengan menebang pokok yang dilarang dan mempunyai nilai komersial yang tinggi seperti kayu berlian, tapang dan menggeris.
Mereka ditahan reman sejak Isnin lepas sehingga Ahad ini.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...