Rabu, 29 Oktober 2014

Proses Dadah Dalam Rumah, 7 Sekeluarga Ditahan

Gambar hiasan
KUANTAN: Tindakan seorang lelaki menjadikan rumah teres dua tingkat milik keluarganya di Jalan Haji Ahmad di sini sebagai makmal haram memproses dadah terbongkar setelah polis menyerbu rumah itu awal pagi Ahad lepas.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, polis turut menahan enam lagi anggota keluarganya iaitu dua lelaki berusia 19 dan 41 tahun serta empat wanita berusia lingkungan 15 hingga 69 tahun.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, turut ditahan dalam serbuan itu ialah seorang wanita warga Thailand berusia 58 tahun yang merupakan tukang masak di kedai keluarga itu.

"Siasatan awal mendapati dalang utama kegiatan haram itu merupakan seorang lelaki, 21, yang bekerja sendiri.

Suspsek dipercayai mempelajari cara memproses dadah tersebut melalui internet sejak dua bulan lepas sebelum menjadikan bahagian atas rumah itu makmal haram memproses syabu," katanya dalam sidang media di sini, Selasa.

Katanya, dalam serbuan itu polis telah menemui 3.49 gram syabu yang siap diproses, 125.39 gram syabu yang belum masak sepenuhnya, 3.3 kg minyak meth, bahan kimia seperti asid hidroklorik dan natrium hidroksida serta peralatan yang digunakan untuk memasak syabu.

Beliau berkata, bahan-bahan itu dipercayai dapat menghasilkan 2.5kg dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan nilai anggaran keseluruhan berjumlah RM275,000.

Katanya, polis turut merampas tiga kereta iaitu dua jenis Proton Saga, sebuah Perodua Kancil, sebuah motosikal jenis Yamaha dan sebuah motosikal Honda serta wang tunai RM400 dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM323,600.

"Semakan rekod turut mendapati bapanya, 41, mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah termasuk tiga kali pernah ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Manakala suspek lain tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek lelaki positif dadah jenis meth sementara suspek wanita didapati negatif," katanya.

Katanya, semua suspek kini ditahan reman sehingga 2 Nov depan di lokap IPD Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...