KUALA LUMPUR: Jabatan
Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) menubuhkan 24 pasukan khas di seluruh
negara bagi memantau dan memeriksa premis mesin judi yang telah diserbu tetapi
dikatakan masih beroperasi.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS)
Datuk Zubaidah Md Ismail berkata ia berikutan terdapat premis mesin judi haram
yang masih beroperasi walaupun telah diserbu dan diarah tutup sebelum ini.
Katanya lagi, pihaknya mengaku ada menerima aduan dan maklumat
mengenai segelintir pegawai dan anggota polis yang bersubahat dengan sindiket
perjudian bagaimanapun siasatan akan dijalankan bagi memastikan kesahihan
maklumat.
"Hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan
pasukan khas itu akan ditulis dalam satu bentuk laporan.
Laporan itu akan diserahkan kepada Ketua Polis Negara
(KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar dan beliau sendiri akan memutuskan bentuk
tindakan yang akan dikenakan kepada ketua polis negeri, daerah mahupun balai
kerana gagal mengawal kegiatan judi haram di kawasan mereka," katanya
kepada pemberita di Bukit Aman, di sini, Rabu.
Bagaimanapun, pegawai dan anggota polis tidak perlu
khuatir dengan langkah yang diambil JIPS sebaliknya ia bertujuan bagi
membersihkan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari terlibat dengan kegiatan
judi haram, kata Zubaidah.
Katanya, sejak Januari hingga Oktober lepas, pihaknya
menerima 57 aduan dan 13 maklumat berhubung dengan kegiatan mesin perjudian dan
perjudian terbuka di seluruh negara.
Tambahnya, JIPS akan memastikan semua warga PDRM mematuhi
arahan, prosedur dan undang-undang yang terpakai dalam menangani kegiatan judi
haram itu.
"Antara langkah yang diambil adalah memastikan
ketua-ketua polis dan pesuruhjaya polis negeri dipertanggungjawabkan sepenuhnya
ke atas kegiatan mesin judi haram yang beroperasi di kontinjen masing-masing.
Mengesyorkan KPN untuk mengambil tindakan tegas,
menjalankan semakan dari semasa ke semasa ke atas laporan-laporan polis yang
dibuat terhadap serbuan mesin judi haram dan mewujudkan Hotline 1800-880-222
bagi memudahkan anggota masyarakat mengemukakan aduan, maklumat atau
laporan," katanya.
Beliau berkata PDRM amat komited dalam membanteras
aktiviti judi haram demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
"PDRM mengharapkan anggota masyarakat akan terus
memberikan kerjasama dengan berkongsi maklumat tentang sebarang perlakuan yang
boleh menjejaskan usaha murni ini," katanya.