Khamis, 4 Disember 2014

PADAH MENANTI KAKI MENGINTAI ?

Gambar hiasan


Pemuda maut dipukul gara-gara intai isteri orang

KEMAMAN, 3 Disember: Seorang pemuda maut setelah dipukul sekumpulan lelaki kerana dipercayai mengintai salah seorang isteri suspek dalam kejadian di Kampung Bujar, Air Jernih, Ahad lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, berang dengan tindakan itu, suami wanita berkenaan bersama empat lagi rakannya memerangkap mangsa dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu.
“Mangsa ketika itu dipercayai leka mengintai isteri suspek yang berusia 20-an menerusi tingkap jeriji (tingkap nako) di sebuah rumah yang terletak di satu kawasan yang dikelilingi tanaman kelapa sawit.

“Geram dengan tindakan berulang itu, mereka menangkap mangsa dan dipercayai memukul lelaki itu sehingga pengsan sebelum membuat keputusan untuk menghantarnya ke Pusat Kesihatan Kemasik,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.
Menurut Wan Abdul Aziz, akibat dipukul, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada, tangan dan dahi serta pendarahan di hidung dan telinga.
Mangsa kemudian dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kemaman.
Wan Abdul Aziz berkata bagaimanapun kira-kira jam 12.01 tengah malam Isnin, pihaknya telah menerima maklumat daripada Hospital Kemaman tentang mayat seorang lelaki yang diterima di hospital itu.
Katanya susulan kejadian itu, pihaknya berjaya menjejaki dan menahan kelima-lima suspek yang berusia antara 22 hingga 30 tahun di sekitar Kemaman pada hari yang sama.
Jelasnya, kesemua suspek termasuk suami wanita berkenaan yang antaranya bekerja sebagai mekanik, jurukimpal dan pemandu lori ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...