Ahad, 14 Disember 2014

Pelajar Tingkatan Dua Disyaki Terbabit Kes Pecah Kedai


KUALA LUMPUR: Tiga pelajar lelaki tingkatan dua ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kes pecah kedai dan pecah kereta di Jalan 2/2, Taman Cahaya, Ampang di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, dalam kejadian 2.45 pagi itu, anggota polis unit rondaan bermotosikal ternampak ketiga-tiga suspek sedang mengumpil pintu belakang sebuah kedai telekomunikasi.

Apabila polis menghampiri, mereka melarikan diri dengan menaiki tangga di bangunan itu tetapi dapat ditahan di tingkat tiga bangunan itu, katanya ketika dihubungi Jumaat.
Hasil pemeriksaan terhadap mereka, polis menemui sebuah beg galas berisi pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.
"Ketiga-tiga suspek berusia 14 tahun itu mengaku memecahkan sebuah kereta Honda City di Jalan Pandan Cahaya, Ampang sebelum mengumpil pintu belakang kedai telekomunikasi itu. Namun mereka tidak sempat melarikan apa-apa daripada kereta itu kerana penggera berbunyi," katanya.
Ketiga-tiga remaja itu masih belajar di sebuah sekolah di Ampang dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Mereka ditahan reman lima hari mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...