Isnin, 8 Disember 2014

Sorok dadah dalam bilik anak

KUALA BERANG - Taktik digunakan seorang bapa berusia 51 tahun menyorok barangan dipercayai dadah di bilik tidur anak perempuannya tidak menjadi apabila dia dicekup polis dalam satu serbuan di Kampung Langgar, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.10 tengah hari itu, polis turut merampas 17 botol lut sinar berisi serbuk putih disyaki dadah dianggarkan bernilai RM6,800

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hussin Deraman berkata, bertindak atas hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Narkotik IPD Hulu Terengganu menyerbu rumah suspek.


Menurutnya, ketika serbuan,  datuk kepada seorang cucu itu cuba melarikan diri namun gagal dan turut berada di rumah berkenaan waktu itu ialah anak perempuannya berusia 23 tahun yang juga seorang suri rumah.

“Pemeriksaan di dalam bilik tidur perempuan itu menemui dua bungkusan akhbar pada susunan lipatan pakaian dalam almari solek.

"Apabila dibuka bungkusan pertama dijumpai 10 botol lut sinar bertudung kuning berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin. Bungkusan kedua pula terdapat tujuh botol dipercayai dadah dari jenis sama," katanya pada sidang media di IPD Hulu Terengganu, di sini, semalam.

Hussin berkata, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin, manakala anak perempuannya negatif dadah dan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan dan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983.

"Suspek yang bekerja sebagai buruh dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak 1997 ditahan reman sehingga Ahad depan," katanya.

Beliau berkata, suspek turut mempunyai lapan rekod kesalahan lampau antaranya mencuri dan memiliki dadah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan di bawah Akta Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

"Suspek menjadikan bilik tidur anaknya sebagai tempat menyimpan dadah sebagai helah bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Sebelum ini polis telah mengadakan serbuan ke rumah berkenaan tetapi tidak menemui barangan yang mencurigakan," katanya.


Menurutnya, rampasan tersebut juga merupakan kejayaan terbesar bagi IPD Hulu Terengganu pada tahun ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...