Khamis, 12 Februari 2015

Isteri polis mati ditikam anak angkat.


IPOH 11 Feb. – Seorang daripada empat suspek berusia 15 hingga 19 tahun yang ditahan berhubung kes seorang wanita yang maut selepas lehernya ditikam dalam kejadian samun di Taman Tanjung Emas, Tanjung Rambutan dekat sini hari ini, dipercayai rapat dengan mangsa.

Anak kepada mangsa, Zulfadhli Salehuddin, 27, memberitahu, seorang daripada suspek remaja yang ditahan hari ini merupakan anak kepada salah seorang jiran mereka di kawasan perumahan tersebut.

Malah, katanya, kerana hubungan yang rapat, emaknya menganggap remaja berkenaan sebagai anak angkat.

“Arwah emak saya pernah mengupah remaja berkenaan membersihkan inap desa milik kami di kawasan perumahan di sini.


“Malah saya beberapa kali pernah melihat remaja berkenaan berada di dalam rumah kami. Sehinggalah berlaku kecurian wang di dalam rumah baru-baru ini, sejak itu remaja berkenaan tidak lagi rapat dengan emak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 3 pagi ini, Zulfadhli menemukan emaknya, Izaah Abdullah, 52, dalam keadaan tidak bernyawa di dalam bilik rumah mereka dipercayai ditikam.

Ekoran itu, polis menahan empat suspek tidak lama selepas kejadian tersebut.

Sementara itu, menceritakan detik sebelum menemukan mayat emaknya, Zulfadhli berkata, dia tiba di rumah pada pukul 3 pagi selepas membantu rakannya menjual sate di Silibin dekat sini setelah keluar rumah kira-kira pukul 8.30 malam.

Menurutnya, sebelum dia keluar rumah, emaknya sedang membaca al-Quran.

Katanya, sebaik sahaja tiba di rumah pada pukul 3 pagi, dia terdengar jam loceng yang tidak berhenti berbunyi dari bilik emaknya.

“Biasanya emak akan segera menghentikan bunyi loceng kerana sudah menjadi kebiasaannya mengunci jam setiap satu jam.

“Bunyi loceng yang terus berdering membuatkan saya pelik lalu memanggilnya sebanyak tiga kali, namun masih tidak dijawab. Memang agak pelik kerana biasanya emak hanya tidur-tidur ayam. Saya terus menuju ke bilik dan mendapati pintu terbuka sedikit.


“Saya menjengah ke dalam bilik dan melihat keadaan bersepah. Sebaik sahaja melangkah masuk, saya lihat ibu tertiarap di atas katil dengan sebiji bantal menutupi kepalanya. Pilu hati saya sebaik saja mengalihkan bantal apabila melihat darah serta kesan tikam di leher emak,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...