PETALING JAYA: Selepas ugutan membakar mercun di
mahkamah baru-baru ini, terkini sebuah kumpulan yang menggelarkan diri sebagai
Anak Malaysia Anti Demokrasi (Amad) memuat naik klip video ugutan bunuh
terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Video
berdurasi 1.27 minit dimuat naik di YouTube itu mengugut membunuh Khalid dengan
meletupkan keretanya, sebagai desakan untuk beliau meletak jawatan.
Ia
digambarkan pada akhir video itu dengan seorang lelaki bertopeng membawa kereta
mainan di hadapan lelaki dengan muka bertutup dan membakar kereta tersebut
menggunakan pemetik api disusuli bunyi letupan.
Rakaman
bertajuk "Peringatan kepada IGP" itu memaparkan tiga individu
berpakaian hitam dengan muka seorang daripada mereka ditutupi logo kumpulan
itu, manakala dua lagi memakai topeng.
Sambil memegang gambar pelawak, Jaafar Onn mereka yang
mendakwa sebagai kumpulan anti demokrasi memberi amaran dalam bahasa Melayu.
Salah seorang ahli kumpulan itu mempersoalkan sama ada
pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ketua polis negara dan ketua hakim
negara dapat diganti melalui proses demokrasi.
"Adakah rakyat Malaysia boleh
menukar pengerusi SPR melalui proses demokrasi? Adakah rakyat Malaysia boleh
menukar ketua hakim negara melalui proses demokrasi dan adakah rakyat Malaysia
boleh menukar ketua polis negara melalui proses demokrasi?
'Tidak, manusia-manusia inilah perosak ejen
demokrasi," kata ahli kumpulan itu menerusi video bertarikh 23 Januari
yang sehingga kini meraih tontonan hampir 6,000.
Sebelum ini, badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan
kempen mendesak Khalid meletak jawatan Khalid kerana tindakannya menahan ahli
politik dan aktivis, termasuk Bersih 2.0 dan Suaram mengadakan sidang media
mengutuk tindakan polis itu.
Kumpulan terbabit melancarkan protes setiap Sabtu di
hadapan pusat beli belah Sogo, di ibu negara sebagai tuntutan kebebasan
bersuara dan mendesak peletakan jawatan Khalid.