Kota Bharu:
“Kami mahu menutup kedai ketika itu sebelum mereka masuk secara senyap dan
bercakap pun dalam nada perlahan.
“Saya tak sedar
sehinggalah mereka mengeluarkan senjata dan meminta wang,” kata Norhaizan Mohd
Zin, 45, isteri kepada seorang peniaga yang maut ditembak tiga lelaki menyamun
kedai menjual perkakas rumah di Kampung Beris Lalang, Bachok, petang, semalam.
Dalam kejadian
jam 5.45 petang, Mustaffar Sidik, 52, meninggal dunia ketika dalam perjalanan
mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). Turut cedera
anak perempuannya, Ainul Wahida, 18.
Norhaizan yang
masih terkejut dengan kejadian itu berkata, semua lelaki itu memakai topeng
dipercayai penduduk tempatan selepas dia mendengar dialek Kelantan dalam
pertuturan mereka.
“Kita ingatkan
dia datang hendak beli barang sebab masuk secara perlahan dan menghampiri kami
pun dalam keadaan perlahan. Cuma dia pakai topeng dan memang orang tempatan
berdasarkan percakapannya.
“Semuanya
berlaku cepat sangat pantas. Dia minta duit dan apabila tak cukup, dia acukan
pistol ke arah suami saya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HUSM, di
sini, semalam.