Rabu, 24 Jun 2015

Ganjaran RM1,000 lapor kes kecurian kabel


KUALA TERENGGANU - Telekom Malaysia Terengganu (TM Terengganu) menawarkan ganjaran RM1,000 kepada orang ramai yang melaporkan sebarang kes kecurian kabel dalam usahanya mencegah kejadian itu sehingga mengakibatkan kerugian beribu ringgit kepada syarikat itu.

Pengurus besarnya, Hamidun Ismail berkata, insentif itu akan diberikan kepada mana-mana individu mahupun kumpulan yang berjaya menahan suspek terbabit sehingga kes itu dibuktikan bersalah di mahkamah.


Katanya bagi mengekang masalah itu, pihaknya juga bekerjasama dengan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Skim Rondaan Sukarela (SRS) serta masyarakat setempat.

"Kita akui kecurian kabel ini masih serius di negeri ini, jadi kita mengambil langkah dengan memberikan ganjaran kepada mereka yang berjaya menggagalkan kejadian itu sehingga tertangkapnya suspek.

"Selain itu, kita juga berharap orang ramai termasuk JKKK dan SRS menjadi mata dan telinga TM, jika terdapat maklumat berhubung kecurian kabel terus laporkannya kepada pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dengan langkah yang dilakukan ini, pihaknya berharap kes kecurian kabel di negeri ini terus dapat dikurangkan kerana ia turut memberi kesan kepada orang ramai yang ingin menggunakan talian telefon dan internet.

Katanya, walaupun rondaan telah dilakukan oleh pihak berkuasa namun kejadian kecurian ini masih tinggi dicatatkan di seluruh daerah.

"Kita berharap dengan ganjaran wang tunai serta langkah yang dilaksanakan dapat mencegah dan mengurangkan kerugian yang ditanggung akibat perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab," katanya.  - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...