KUALA LUMPUR: Keselamatan di negeri-negeri yang
bersempadan dan kawasan sempadan negara seharusnya diletakkan di bawah ketua
polis negeri, supaya segala operasi melibatkan agensi-agensi penguat kuasa
terlibat dapat diselaraskan bawah satu arahan.
Bekas
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis
Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Wira Ayub Yaakob yang mencadangkan perkara itu
berkata, ketua polis negeri haruslah diberikan kuasa untuk melakukan segala
program, tindakan dan operasi.
"Melalui 'kuasa' ini, seluruh agensi dapat memainkan peranan masing-masing di
bawah satu arahan. Ia akan memupuk semangat integrasi nasional antara agensi
dalam memastikan keberkesanan keselamatan sempadan supaya tidak longgar,"
katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Beliau
berkata, Strategi Lautan Biru Kebangsaan( NBOS) merupakan satu penyelesaian
yang terbaik bagi isu keselamatan negara yang membabitkan penjagaan sempadan
negara terutama Malaysia-Thailand agar ia tidak mudah 'bocor' seperti sekarang,
sekiranya kerjasama itu dapat dilaksanakan dengan efektif.
Ayub yang
juga Exco Yayasan Pengaman Malaysia berkata NBOS perlu dilaksanakan secara
integrasi melibatkan semua agensi kerajaan dalam menangani isu keselamatan
sempadan Malaysia.
"Setiap
agensi kerajaan seperti polis, tentera dan kastam tidak seharusnya bergerak
secara solo atau unilateral. Dengan adanya NBOS ini, setiap agensi kerajaan
dapat berkongsi maklumat supaya semua sumber yang ada dapat digembleng dan
digunakan sepenuhnya," katanya.
Ayub juga
berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan mewujudkan pasukan khas yang memberi
perhatian terhadap hal ehwal di sempadan negara terutama dalam aspek kawalan
keselamatan.
Selain itu,
kerajaan juga perlu membina kem-kem di sekitar sempadan negara dan mengaplikasikan
teknologi terkini dalam mengawal keselamatan di sempadan negara.
Beliau
berkata kem-kem itu perlu dilengkapi kemudahan untuk pasukan keselamatan
seperti rumah keluarga, sekolah, bekalan air bersih dan elektrik.
"Selain
itu, kerajaan juga haruslah mempraktikkan semula cara pada tahun 60-an dengan
memindahkan batalion dari satu lokasi ke satu lokasi selepas berkhidmat selama
dua tahun di sesuatu kawasan.
"Selain
itu, pihak kerajaan seharusnya mengunakan imej satelit dalam membuat pemantauan
di sempadan negara daripada membina tembok tinggi yang menelan belanja yang
besar. Ini lebih praktikal," katanya.
Baru-baru
ini, Malaysia digemparkan dengan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara
sindiket pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis.
Ini
menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keselamatan di sempadan Malaysia
sehinggakan pihak tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya keluar masuk
melalui jalan haram seperti jalan tikus.
Isu ini
semakin membimbangkan kerana sebelum muncul kes pemerdagangan manusia, sudah
dilaporkan berlakunya penyeludupan pelbagai senjata api masuk ke negara ini
dengan mudah, yang boleh mengancam keselamatan penduduk Malaysia.-- Bernama