KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beberapa tangkapan terhadap rakyat Malaysia yang
disyaki terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis
telah dilakukan.
"Bukan sahaja waran tangkap tapi tangkapan juga telah
dilakukan," katanya kepada pemberita sebelum majlis berbuka puasa bersama
200 anak yatim dari kawasan Parlimen Bagan Datoh di Kompleks Beli-Belah Sogo di
sini Sabtu.
Beliau ditanya sama ada waran tangkap telah dikeluarkan terhadap rakyat
Malaysia yang disyaki terlibat dalam sindiket itu yang terbongkar selepas
penemuan kem tahanan di Wang Kelian, yang dipercayai menjadi lokasi mengurung
pelarian Rohingya dan pendatang dari Bangladesh.
Beliau bagaimanapun enggan menyebut jumlah sebenar waran tangkap yang telah dikeluarkan.
"Tak perlu sebut jumlah, tetapi ia satu jumlah munasabah mengikut
laporan dan siasatan yang kita lakukan," katanya.
Pada Mei lepas negara digemparkan dengan penemuan 139 kubur yang dikesan
pihak berkuasa di 28 kem transit yang dibina oleh sindiket pemerdagangan
manusia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.
Setakat ini, 106 mayat dilapor telah dijumpai.
Sebelum ini, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa beberapa dalang sindiket
telah diserahkan pihak berkuasa Thailand kepada Malaysia.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata kerajaan kini sedang dalam
proses mengekstradisi suspek utama sindiket berkenaan yang dikenali sebagai
'Yassin' yang telah ditahan pihak berkuasa Thailand.
"Ekstradisi sudah dijalankan dan sedang diusahakan. Kita akan
lakukan pendakwaan apabila Yassin dibawa ke mari," katanya.
Sumber: KLIK SINI