KUALA LUMPUR - Seorang lagi
lelaki yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan mendiang
Anthony Kevin Morais menyerah diri hari ini, menjadikan kesemuanya 11 orang
yang ditahan berhubung kes itu.
Dalam satu kenyataan hari ini,
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata
lelaki berkenaan R. Dinishwaran, 22, menyerah diri pada jam 4.15 petang di Ibu
Pejabat Polis Daerah Sentul.
Maklumat awal dan gambar
Dinishwaran bersama seorang lagi lelaki M.Vishwanath, 25, yang dikehendaki
polis dan berjaya ditahan semalam, disiarkan pihak media pada Ahad.
Tahanan reman bagi Dinishwaran
akan dipohon esok bagi siasatan lanjut, katanya.
Dalam perkembangan sama,
Zainuddin berkata tempoh reman enam daripada suspek yang berakhir hari ini
dilanjutkan sehingga 28 Sept ini.
Mayat Morais, 55, Timbalan Ketua
Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, ditemui di dalam tong dram
berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini Rabu lepas.
Mendiang dilaporkan hilang pada 4
Sept dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di
sini untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana
dengan nombor pendaftaran WA6264Q. - Bernama