Isnin, 7 September 2015

Polis buru peserta Bersih 4.0


KUALA LUMPUR 5 Sept. - Sekurang-kurangnya tujuh peserta perhimpunan haram Bersih 4.0 sedang diburu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan terhadap kebiadapan memijak gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, minggu lalu.

Individu yang dicari itu merupakan mereka yang dirakam melakukan perlakuan biadab terbabit.

Menurut sumber, ada dalam kalangan suspek yang sedang diburu itu dikesan terlibat secara langsung melakukan perbuatan biadab tersebut di hadapan peserta perhimpunan lain dan kelakuan itu telah dirakam sebagai bukti.


“Mereka yang diburu adalah sebahagian daripada peserta Bersih 4.0 yang tidak bertanggungjawab dan cuba menimbulkan provokasi dengan memijak gambar pemimpin negara.

“Sebahagian daripada tujuh individu itu jelas dirakam memijak gambar Najib dan Hadi ketika perhimpunan sedang berlangsung,” kata sumber ketika dihubungi Ming­guan Malaysia, di sini hari.

Gambar ketujuh-tujuh suspek itu juga dikesan mula disebarkan di dalam blog-blog tempatan seperti di blog Cucu Tok Selampit.

Berdasarkan gambar tersebut, empat individu termasuk seorang lelaki warga emas dilihat dengan jelas memijak gambar dua pemimpin negara.

Semalam, PDRM menawarkan ganjaran kewangan kepada mereka yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya individu yang memijak dua pemimpin ketika perhimpunan haram itu berlangsung.

Walaupun tidak dinyatakan amaun sebenar ganjaran terbabit, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, polis memandang serius perbuatan memijak gambar itu kerana ia mewujudkan suasana tegang sehingga membangkitkan ketidaktenteraman awam dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Tindakan memijak gambar pemimpin dengan tujuan melakukan provokasi peserta Bersih 4.0 dianggap perbuatan biadab serta dikutuk ramai kerana bertentangan dengan budaya rakyat Malaysia yang terkenal dengan sikap bersopan-santun dan berbudi bahasa.


Sehingga kini, polis telah me­nerima sebanyak 250 laporan dari seluruh negara termasuk yang dibuat daripada ahli UMNO dan Pas.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...