KUALA TERENGGANU - Polis memohon kerjasama orang
ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian kemalangan melibatkan
seorang penunggang basikal wanita di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, Selasa
lalu, tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten
Komisioner Idris Abd Rafar berkata, mangsa, Salimah Salleh, 50, yang cedera
parah di kepala, meninggal dunia jam 5.55 pagi Jumaat lalu, selepas hampir tiga
hari bertarung nyawa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Jelasnya, sebelum ini, mangsa yang menunggang
basikal bersendirian dipercayai dirempuh dari arah belakang oleh sebuah
kenderaan yang kemudiannya melarikan diri meninggalkan mangsa di lokasi
kejadian.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi
pada Selasa lalu, ketika mangsa yang tidak bekerja dalam perjalanan pulang dari
sebuah kedai makan ke rumahnya di Flat Sri Kolam, di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, basikal yang
ditunggangnya dirempuh dari arah belakang dan mangsa yang terbaring di tepi jalan
dibawa orang awam ke HSNZ untuk rawatan lanjut.
“Mangsa yang cedera parah di kepala dirawat di HSNZ
sebelum disahkan meninggal dunia jam 5.55 pagi, Jumaat lalu dan jenazah sudah
pun diserahkan kepada keluarga sebaik selesai bedah siasat untuk urusan pengebumian,”
katanya.
Idris berkata, buat masa ini, tiada saksi awam yang
melihat kejadian berkenaan dan maklumat awam amat diperlukan bagi mengesan
individu yang bertanggungjawab atas kejadian ini.
“Kita tidak tahu jenis kereta dan nombor
pendaftaran kenderaan yang melanggar mangsa sebelum melarikan diri.
“Kes
disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana
menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya.
Sumber: KLIK DISINI