Selasa, 13 Oktober 2015

Jenayah ragut di Damansara meningkat

PETALING JAYA, 12 Oktober:

Jenayah ragut menyumbang kepada kadar indeks jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Damansara apabila ianya dilihat meningkat sebanyak 176 kes berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Zaini Che Din berkata, dalam tempoh Januari hingga 11 Oktober tahun ini, sebanyak 304 kes dilaporkan berbanding 128 kes tahun lalu.

Menurutnya, dianggarkan purata empat hingga lima kes dilaporkan setiap hari di daerah Damansara.

“Kami akan menggandakan usaha dalam mengatasi jenayah ragut ini dengan memantau menerusi laman sosial dan tidak hanya berdasarkan laporan yang diterima.

“Perkongsian dalam laman sosial juga turut diambil kira bagi memastikan jenayah ini dapat dikurangkan,” katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Beliau berkata, pelbagai faktor yang menyebabkan peningkatan jenayah ragut dan di antaranya adalah pergerakan penjenayah dari daerah lain ke kawasan itu.

Zaini yang baru mengambil alih tugas sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya yang sebelum ini digalas Senior Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, akan menumpukan kepada jenayah jalanan yang dilihat meningkat.

Menurutnya, penjenayah tidak menumpukan satu kawasan sahaja dan mengambil peluang kepada individu yang berpotensi untuk diragut atau samun.

Zaini turut menasihatkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi telefon pintar yang dapat mengenal pasti kedudukan telefon mereka apabila di curi.


“Ini memudahkan polis untuk menjalankan siasatan sekiranya beg tangan diragut atau disamun dan apabila ada telefon bimbit dalam beg itu, kita mudah untuk mengetahui kedudukannya,” katanya.

Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...