KUALA LUMPUR: Pakar godam militan negara Islam (IS) yang ditahan oleh
Bukit Aman telah dikenal pasti sebagai Ardit Ferizi, seorang warga Kosovo, yang
mengetuai sel penggodam yang dinamakan 'Kosovo Hacker's Security'.
Suspek berusia 20 tahun itu juga dikenali dengan nama penggodamannya,
'Th3Dir3ctorY'.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) berkata
tangkapan Ardit dibuat berdasarkan waran tangkap sementara di mana dia didakwa
memberikan sokongan material kepada IS dan melakukan penggodaman komputer serta
mendedahkan maklumat peribadi (PII) pegawai kerajaan dan anggota perkhidmatan
AS.
"AS memohon dia diekstradisi ke Pejabat Peguam Negara bagi Daerah
Timur Virginia untuk dibicarakan," kata jabatan itu pada Jumaat.
Ardit juga didakwa menggodam sistem komputer syarikat mangsa yang
terletak di AS dan mencuri PII beribu-ribu individu lain.
"Dia kemudian memberikan lebih 1,000 PII pegawai kerajaan dan
anggota perkhidmatan AS kepada ISIL yang akan digunakan terhadap
pekerja-pekerja," kata kenyataan itu.
"Di antara Jun dan Ogos 2015, Ferizi memberikan PII yang
diperolehi secara tidak sah kepada anggota IS Junaid Hussain, aka Abu Hussain
al-Britani," katanya.
"Ini membawa kepada tweet yang dibuat Hussain bertajuk 'BARU:
Kerajaan dan tentera AS telah digodam oleh Bahagian Penggodaman Negara Islam'
di atas nama Bahagian penggodaman IS (ISHD) pada 11 Ogos."
"Tweet itu, yang mengandungi pautan kepada dokumen 30 halaman,
sebahagiannya menyatakan, bahawa 'kami berada dalam e-mel dan sistem komputer
anda, memerhatikan dan merakam setiap langkah anda, kami mempunyai nama dan
alamat anda, kami berada dalam e-mel dan akaun media sosial anda, kami sedang
mengekstrak data sulit dan menyebarkan maklumat peribadi anda kepada tentera
khilafah, yang tidak lama lagi, dengan izin Allah akan menyerang batang leher
anda di tanah anda sendiri!'."
"27 halaman seterusnya dokumen itu mengandungi nama, alamat e-mel,
kata laluan e-mel, lokasi dan nombor telefon kira-kira 1,351 tentera AS dan
kakitangan kerajaan yang lain.
"Posting ini bertujuan untuk menyediakan PII milik kakitangan
kerajaan yang disenaraikan kepada penyokong IS di AS dan di tempat lain untuk
tujuan menggalakkan serangan pengganas terhadap individu-individu berkenaan.
"Penolong Peguam Negara bagi Keselamatan Negara As John P. Carlin berkata
Ferizi didakwa sebagai seorang penggodam pengganas yang memberikan sokongan
kepada IS dengan mencuri maklumat peribadi ahli perkhidmatan AS dan kakitangan
persekutuan dan menyediakannya kepada kumpulan pengganas untuk digunakan
terhadap pekerja-pekerjanya.
"Kes ini merupakan yang pertama seumpamanya dan, dengan pendakwaan
ini, kami berusaha untuk menahan Ferizi yang bertanggungjawab terhadap kecurian
maklumat ini dan peranannya dalam IS yang mensasarkan pekerja kerajaan,"
kata kenyataan itu.