Gambar hiasan |
KUANTAN: Seorang lelaki warga emas menerima tujuh jahitan di kepala
akibat ditetak dalam kejadian samun di Felda Keratong 4, Rompin dekat sini,
awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Rompin DSP Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata
mangsa berusia 65 tahun ditetak kerana tidak mengendahkan amaran empat pencuri
yang masuk ke bilik tidurnya supaya tidak membuat bising.
Dalam kejadian antara pukul 2.30 hingga 3.30 pagi itu, salah seorang
suspek menutup muka dengan topeng dan bersenjatakan parang.
"Suspek dipercayai masuk ke rumah itu dengan memotong empat batang
besi tingkap nako rumah itu. Seorang anak mangsa berusia 23 tahun yang tidur di
bilik berasing diikat sebelum mereka ke bilik mangsa," katanya semasa
dihubungi disini, Khamis.
Muhammad Aidil Roneh berkata suspek kemudiannya menggeledah rumah
mangsa dan melarikan wang tunai RM250 dan dua telefon bimbit.
"Apabila suspek tiada, mangsa keluar mendapatkan bantuan di rumah
jirannya yang menghantar mangsa ke Hospital Muadzam Shah," katanya.
Muhammad Aidil Roneh berkata keadaan mangsa kini stabil dan kes
disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun.