IPOH, 16 Dis
(Bernama) -- Seorang anggota polis mati dipercayai akibat dibelasah di sebuah
premis sarang burung walit di Sitiawan, Manjung semalam, kira-kira 80 kilometer
dari sini.
Timbalan Ketua Polis
Perak Datuk Hasnan Hassan berkata mangsa Koperal Noor Hisham Abdul Halim, 35,
bertugas di Balai Polis Sitiawan ditemukan dalam keadaan tertiarap dan tidak
sedar diri dengan kesan kecederaan di kepala, tangan, badan dan kaki pada
kira-kira 4 petang.
"Mangsa ditemui
orang awam yang kemudiannya menghubungi pihak polis," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan majlis pemakaian pangkat kepada 42 pegawai polis
berpangkat Inspektor kepada ACP serta meraikan pesara polis di Pusat Latihan
Polis Gerakan Udara di sini, Rabu.
Beliau berkata, Noor
Hisham disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja
Permaisuri Bainun (HRPB) dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal
dunia akibat dipukul dengan objek keras di beberapa anggota badan.
Katanya, hasil
siasatan polis mendapati mangsa difahamkan memecah masuk ke premis tersebut
untuk mencuri sarung burung walit namun disedari beberapa pekerja di situ
sebelum membelasah mangsa dengan kayu.
Hasnan berkata polis
turut menemukan beberapa batang kayu dipercayai digunakan untuk membelasah
mangsa berhampiran premis itu.
Beliau berkata
siasatan polis mendapati mangsa ditahan kerja sejak 18 Sept lalu berkaitan kes
dadah, pecah rumah dan mendatangkan kecederaan.
Katanya polis menahan
dan mereman selama seminggu empat suspek berusia antara 35 hingga 59 tahun
dipercayai pekerja premis sarang burung walit itu untuk siasatan mengikut
Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
"Orang ramai
dinasihat agar tidak memukul sehingga mendatangkan kematian, sebaiknya segera
menghubungi polis untuk menangkap penjenayah," katanya sambil menegaskan
polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota atau pegawainya yang
terlibat melakukan jenayah.
Sementara itu, adik
mangsa, Noor Hazarrudin, 29, ketika ditemui di HRPZ hari ini berkata beliau
mengetahui kejadian yang menimpa abangnya menerusi panggilan telefon daripada
ayahnya yang merupakan anggota polis di Langkawi.
Katanya abangnya yang
merupakan anak kedua daripada empat beradik meninggalkan seorang isteri,
Rashidah Ariffin, 31, dua anak perempuan berumur enam tahun dan empat bulan dan
seorang anak lelaki berumur lima tahun.
Katanya, jenazah Noor
Hisham dikebumi di Kampung Nyior Chabang, Padang Mat Sirat, Langkawi, Rabu.-
BERNAMA