KUALA LUMPUR
- Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) hari ini menyerang Ketua Polis Negara, Tan Sri
Khalid Abu Bakar dan mendakwanya sebagai pengecut ketika sesi perbahasan di
Dewan Rakyat.
Gobind merujuk kenyataan Khalid kelmarin yang
menyifatkan Charles Suresh Morais sebagai pengecut apabila adik bekas Timbalan
Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais itu melarikan diri setelah membuat pelbagai
dakwaan berhubung kes kematian abangnya itu.
"Malulah KPN. Anda panggil orang pengecut tapi
anda sendiri pengecut," katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari
ini.
Baru-baru ini, Charles dilaporkan membuat pelbagai
dakwaan berhubung kes pembunuhan Kevin, antaranya terlibat dalam siasatan
berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum dia disahkan melarikan diri
pada 1.30 pagi Khamis lalu melalui Tambak Johor.
Melalui laporan polis yang dibuat SPRM sebelum ini,
suruhanjaya itu menafikan dakwaan pihaknya membocorkan draf kertas pertuduhan
membabitkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang
disiarkan portal Sarawak Report.
Gobind turut membangkitkan soal kegagalan KPN
mengendalikan kes dalamannya sendiri sehingga menyebabkan kematian tahanan
seperti yang berlaku kepada Syed Mohd Azlan Syed Mohamed di Johor, tahun lalu.
"Datuk Speaker, saya nak tanya KPN, dia yang
pandai nak panggil orang macam-mana nama, tapi bagaimana dengan dia sendiri?
Ini Ketua Polis Negara kita.
"Anda panggil orang pengecut, anda beritahu
saya, apakah tindakan diambil berkenaan kes dalam balai polis sendiri? Kenapa
tidak ada tindakan? Adakah IGP kita berani nak bercakap dengan keluarga si
mati? Adakah anda ada hubungi mereka?," tanyanya.
Katanya lagi, antara punca rakyat Malaysia tiada
keyakinan dalam siasatan negara ini adalah apabila laporan polis yang dibuat
tidak diambil tindakan.
"Sebagai ahli Parlimen, saya datang ke sini,
kadang-kadang saya malu. Orang tanya kita, anda semua pembuat undang-undang
tapi orang mati, tiada keputusan, tiada siasatan. Malu kita. Macam mana nak
jawab?," katanya