Selasa, 15 Disember 2015

RM500,000 lesap, ahli perniagaan muda dirompak

Gambar hiasan
SHAH ALAM, 10 Disember: Seorang ahli perniagaan muda kerugian RM500 ribu selepas kediamannya di samun empat lelaki di sebuah banglo mewah di Seksyen 13, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, tangan mangsa diikat dan dikurung di dalam bilik utama bersama isteri dan dua anaknya yang berusia 6 bulan dan tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata, empat suspek dipercayai warga Indonesia masuk ke dalam rumah menggunakan tangga yang berada di belakang rumah sebelum mengumpil tingkap banglo dua tingkat itu.

Menurutnya, suspek membawa lari barang kemas dan jam tangan yang dianggarkan RM500,000.


“Kami percaya suspek melarikan diri melalui kawasan hutan di Bukit Kemuning di laluan Lebuhraya Utara Selatan susulan penemuan telefon bimbit mangsa yang dipecahkan.

“Dipercayai suspek sudah memasuki kawasan perumahan itu kira-kira jam 8 hingga 9 malam sebelum pecah masuk rumah mangsa,” katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini.

Shafien berkata, kamera litar tertutup di kawasan rumah mangsa yang berusia 31 tahun dipercayai tidak berfungsi.

Menurutnya, pemeriksaan polis mendapati suspek lari ke kawasan hutan sebelum ada rakan suspek yang menunggu di tepi lebuh raya untuk melarikan diri.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 385/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan bersenjata.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...