KUALA LUMPUR: Polis Diraja
Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat rondaan keselamatan
bersama menjelang perayaan Thaipusam yang akan berlangsung di Batu Caves di
sini pada Ahad ini.
Tanpa mendedahkan bilangan
anggota bertugas, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad
berkata rondaan bersama yang bermula hari ini dilakukan berikutan perkembangan
insiden keganasan di beberapa bandar utama di dunia.
"Aktiviti pengganas berlaku
tidak kira di mana, jadi polis ambil langkah berjaga-jaga termasuk di Batu
Caves.
"Bilangan anggota polis yang
bertugas kami tidak dedahkan namun saya ingin tegaskan bilangan anggota
mencukupi," katanya.
Beliau berkata demikian pada
sidang media di Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam, di Batu Caves, Khamis.
Turut hadir adalah Pengerusi
Jawatankuasa kuil itu Tan Sri R. Nadarajah.
Ali menegaskan bahawa aspek
keselamatan di Batu Caves di sini berada pada tahap yang terkawal dan selamat
untuk dihadiri pengunjung dan penganut agama Hindu untuk beribadat.
"Jangan buat sebarang
spekulasi berkenaan tahap keselamatan di Batu Caves sehingga boleh mencetuskan
kebimbangan dan panik terhadap orang ramai. Sekiranya ada pihak yang melanggar
arahan polis, kami akan ambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang
sedia ada," katanya.
Sementara itu, beliau berkata
pihaknya juga akan memantau kegiatan mengenakan bayaran di tempat letak kereta
di sekitar kawasan Batu Caves.
"Kami tidak benarkan sama
sekali tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah individu yang mengutip
bayaran parkir kereta dengan orang ramai. Kami akan pantau mereka ini dan saya
nasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat atau membayar kepada mereka
ini," katanya.
Katanya lebih satu juta
pengunjung dijangka berada di sekitar Batu Caves sempena perayaan berkenaan.--
Bernama