Pengarah Jabatan
Pengurusan PDRM, Dato' Pahlawan Zulkifli Abdullah berkata program yang diadakan
dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya buat pertama kali
untuk tempoh enam bulan mulai hari ini melibatkan 35 pegawai dan anggota polis daripada
Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
"Program itu
bagi menggalakkan warga PDRM mengamalkan gaya hidup sihat, dan sekali gus
menangani masalah kesihatan termasuk obesiti," katanya selepas melancarkan
program itu, di sini semalam.
Zulkifli berkata,
antara program yang akan dijalankan ialah ceramah dan rundingan setiap bulan
mengenai pemakanan dan tentang cara melakukan aktiviti fizikal di rumah.
"Dengan program
ini, kita percaya tahap kecergasan mereka akan kekal cergas dan mampu
melaksanakan tanggungjawab dan amanah mereka sebagai anggota polis,"
katanya.
Zulkifli berkata,
sekiranya program itu berjaya selepas berakhirnya tempoh enam bulan nanti, ia
akan turut diperluaskan dalam kalangan warganya di seluruh negara yang turut
bekerjasama dengan jabatan kesihatan di setiap negeri.
"Pada masa
hadapan, kita mungkin akan mengaplikasikan program ini dalam prasyarat bagi
kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan di kalangan anggota dan pegawai polis
sebagai satu dorongan kepada mereka," katanya.
Beliau berharap
program perintis ini dapat membantu mempertingkatkan tahap kesihatan anggota
polis memandangkan tahun lepas seramai 250 warga polis meninggal dunia ketika
menjalankan tugas akibat pelbagai penyakit.
Sumber : BERNAMA