Selasa, 5 Januari 2016

Suspek curi barang kemas RM200,000 ditahan

MARANG - Polis memberkas seorang lelaki berpewatakan wanita dan menemui semula sebahagian besar barangan kemas bernilai kira-kira RM200,000 disyaki dicuri dari sebuah kedai emas di Pekan Bukit Payong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, lelaki itu berjaya dikesan melalui penelitian dibuat menerusi rakaman CCTV yang dipasang di premis mangsa.

“Polis juga mendapati suspek terbabit pernah mengunjungi kedai emas itu pada 30 Disember lalu,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini, pada hari ini.


Menurutnya, suspek berusia 35 tahun itu berjaya ditahan di sebuah rumah di Rhu Dua kira-kira jam 11.00 malam, iaitu dalam tempoh kurang 48 jam selepas polis menerima laporan daripada mangsa mengenai kes kecurian itu.

“Suspek yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu merupakan orang sekatan (dadah) yang ditahan di bawah Seksyen 6 (3) (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 sejak 2013 dan tempoh tahanan suspek hanya berakhir pada 2017.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek berusia 35 tahun itu positif dadah jenis morfin dan methamphetamine. Suspek kini direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sabtu lalu, dalam kejadian berlaku antara jam 4.30 hingga 5 petang itu suspek terbabit berjaya melarikan barang kemas itu selepas memasuki premis tersebut ketika pemilik kedai emas itu sedang menunaikan solat Asar.

Pemilik kedai emas, Rodhiah Mohamad, 43, yang dipetik berkata, dia menyedari barang kemas di kedainya dilarikan suspek apabila mendapati dulang menyimpan barang kemas ditinggalkan kosong dan diletakkan di atas kaunter pameran.

"Saya baru selesai solat (Asar) ketika itu dan terkejut apabila mendapati terdapat dulang barang kemas kosong yang ditinggalkan atas kaunter. Dalam keadaan panik, saya terus hubungi suami untuk memaklumkan mengenai kejadian.

"Masa itu banyak kedai sudah ditutup dan keadaan di luar kedai agak lengang. Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dapat dilihat seorang penjenayah berpakaian seperti wanita menarik dulang dari tempat simpanan barang kemas," katanya.

Menurut Rodhiah, rakaman CCTV menunjukkan suspek melarikan diri serta meninggalkan dulang kosong atas kaunter pameran dan kesemua barang kemas diambil dianggarkan bernilai kira-kira RM200,000.

Rodhiah dan suaminya sebelum ini juga tidak menolak kemungkinan bahawa suspek terbabit adalah lelaki dan hanya menyamar berpakaian seperti seorang wanita termasuk memakai tudung sebagai satu helah.


Sumber rujukan: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...