Isnin, 18 Januari 2016

Tiga Cedera Parah Diserang Kumpulan Lelaki Bersenjata Parang

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki cedera parah diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah stesen minyak, di Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya awal pagi Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Mohd Ali Thamby berkata, dalam kejadian pukul 5.10 pagi itu, ketiga-tiga mangsa dan seorang lagi rakan mereka berhenti untuk mengisi minyak kereta yang mereka naiki di stesen minyak itu apabila didatangi 10 lelaki yang bersenjatakan parang.

"Suspek bersenjata parang telah menyerang mangsa sehingga menyebabkan kecederaan. Tiga mangsa dikejarkan ke hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), manakala seorang lagi rakan mangsa sempat melarikan diri.
"Motif kejadian adalah samun dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.
Beliau berkata, mangsa dan suspek berumur dalam lingkungan 20 hingga 30-an.
Susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan dua daripada suspek samun berkenaan selepas lima daripada mereka diserang oleh sekumpulan lelaki lain di Dataran Pelangi Utama pada pukul 9 pagi Ahad.
Mohd Ali berkata dalam kejadian itu, suspek diserang 10 lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa samun di stesen minyak awal pagi Ahad.
Katanya, tiga daripada suspek telah meloloskan diri namun polis telah menahan dua suspek yang cedera akibat diserang oleh kumpulan berkenaan menggunakan senjata tajam.
Mereka yang cedera telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya  untuk menerima rawatan.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan menyebabkan kecederaan kepada mangsa dan 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh, katanya. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...