SEREMBAN, 17 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menahan dua anggota polis dipercayai meminta
dan menerima rasuah daripada seorang suspek berhubung kesalahan berkaitan
dadah.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan Datuk Shaharom Nizam Abd Manap
berkata kedua-dua sarjan polis berusia 28 dan 30 tahun itu ditahan berhampiran
sebuah restoran di Temiang di sini, pada 7.30 petang tadi.
"Kedua-dua mereka yang bertugas di Bahagian Siasatan
Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, ditahan selepas pengadu
yang berusia 36 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan membuat aduan bahawa
anggota polis terbabit meminta RM2,800, sebelum dia menyerahkan RM500.
"Mereka disyaki meminta dan menerima wang daripada
pengadu untuk menukar keputusan ujian daripada Jabatan Kimia kepada negatif ke
atas sampel dadah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata permohonan reman akan dibuat esok, dan
siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia 2009.- BERNAMA