NARATHIWAT, 13 Feb (Bernama) --
Enam butir bom diletupkan di sekitar daerah Bachok, selatan Thailand semalam
dalam serangan anggota gerakan pembebasan bagi memperingati kejadian serangan
di daerah itu tiga tahun lepas yang mengorbankan 16 nyawa pejuang pembebasan.
Ketua Polis Daerah Kolonel Patta
Madawa berkata serangan bom itu bermula pada 8.40 malam dan berlanjutan
sehingga 11.30 malam dengan menyasarkan tiang-tiang elektrik.
"Serangan bom itu adalah
tindakan simbolik kejadian pada 13 Feb 2013 apabila 16 anggota gerakan terbunuh
dalam serangan markas tentera laut di Bachok," katanya kepada pemberita
Sabtu.
Dalam kejadian berasingan,
seorang pemandu lori berusia 45 tahun mati ditembak di Kampung Jerae, daerah
Rusak di sini pada 3.30 petang tadi.
Ketua Polis Narathiwat Jeneral
Pattannawut Angkanawin berkata tiga lelaki lain yang turut berada di dalam lori
berkenaan, terselamat dalam kejadian itu.
Sementara itu seorang lelaki di
Yala dan seorang lagi di Songkhla masing-masing mati ditembak oleh lelaki tidak
dikenali dalam kejadian 7.50 malam dan 6 petang semalam, kata jurucakap polis.-
BERNAMA