Rabu, 3 Februari 2016

Kumpul dana untuk militan IS

KUALA LUMPUR Perunding kewangan dan cef masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi semalam selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengumpul dana untuk kumpulan pengganas IS.
Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Rohaimi Abd Rahim, 39, dan Mohamad Fauzi Misrak, 36, seorang cef di Singapura bagi kesalahan mencari harta bagi manfaat IS atau Daesh.

Mereka turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan melibatkan diri dalam satu pengaturan yang memudahkan perolehan harta bagi kumpulan itu.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 13 Oktober 2014.
Dalam penghakimannya, Azman menasihati kedua-dua tertuduh bahawa negara yang dalam peperangan adalah tidak sesuai untuk pergi kerana keadaannya berlainan dengan negara kita.

Mengikut pertuduhan pertama, Rohaimi didakwa mencari harta bagi IS di Syria melalui blog Revolusi Islam.com manakala Mohamad Fauzi didakwa bersubahat dengan Rohaimi atas tuduhan sama dengan membenarkan akaun Maybank miliknya digunakan dalam blog itu sebagai medium mencari harta untuk kumpulan itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...