Sabtu, 20 Februari 2016

PDRM, Interpol Bekerjasama Rapat Sekat Kepulangan 132 Militan Daesh

KUCHING, 20 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama rapat dengan Interpol untuk memastikan 132 rakyat Malaysia yang menganggotai kumpulan militan Daesh di Syria dan Iraq, tidak kembali ke negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama ini bertujuan memastikan keharmonian hubungan agama dan kaum serta perpaduan dan kestabilan negara, tidak terancam.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan di sini, Sabtu.

Selama ini, kata beliau, rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan harmoni, walaupun berbeza kaum dan agama.

"Sebagai rakyat Malaysia, mereka sama-sama menyertai dan bergembira menyambut perayaan satu sama lain, yang mengukuhkan lagi hubungan sesama mereka.

"Inilah budaya sebenar rakyat Malaysia yang ingin kita pertahan dan perkukuhkan," katanya.

Beliau berkata, Islam adalah agama keamanan dan tidak mengajar supaya membunuh orang lain, terutama bukan Islam, seperti yang dianjurkan Daesh.

Menurut Ahmad Zahid, sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau akan bertindak tegas dalam menterjemahkan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi keutamaan terhadap keamanan dan keharmonian negara.

"Saya akan bersikap tegas, tetapi adil. Kita perlu mempunyai keamanan dan kestabilan di seluruh negara untuk membolehkan ekonomi berkembang," katanya.

Ahmad Zahid juga menggesa rakyat supaya tidak menyerahkan kepada polis semata-mata untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman negara.

"Itulah sebabnya kita ada kepolisan masyarakat. Ia untuk membantu rakyat," katanya.

Menyentuh tentang pilihan raya negeri Sarawak akan datang, Ahmad Zahid meminta masyarakat Cina memberi sokongan penuh kepada kepimpinan negeri ini yang diterajui Tan Sri Adenan Satem.

"Kita kena tutup bab lama, buku lama mengenai pilihan raya sebelum ini (apabila masyarakat itu menyokong pembangkang di kebanyakan kerusi bandar).

"Sesungguhnya, Adenan mengotakan apa yang beliau kata iaitu mahukan negeri ini maju dan makmur serta bersikap adil terhadap semua kaum. Orang lain pula, mereka hanya mampu mengkritik, tetapi tidak menyumbang apa-apa secara bermakna.

"Mereka bercakap tentang keamanan dan kestabilan, tetapi, sebenarnya, merekalah menggoncang bot pada setiap masa," kata Ahmad Zahid.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...