Isnin, 22 Februari 2016

Wanita Direman Bantu Siasatan Hina Sultan Johor Menerusi Facebook

JOHOR BAHARU, 22 Feb (Bernama) -- Seorang wanita direman hari ini bagi membantu siasatan berhubung tulisan menghasut dan menghina Sultan Johor menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata wanita berumur 26 tahun itu direman sehingga Khamis ini selepas ditahan di tempat letak kereta di Jalan Sutera, di sini kira-kira 3 pagi tadi.

Katanya pelayan pelanggan (GRO) itu, yang berasal dari Pontian, ditahan selepas polis menerima laporan seorang lelaki dari Majlis Gabungan Johor pada 8.53 malam di Balai Polis Kempas di sini pada 15 Dis lepas.

"Dalam laporannya, lelaki terbabit menyatakan dia terbaca komen penghinaan terhadap Sultan Johor mengenai isu vape menerusi Facebook atas nama 'Chinta Fina' semasa berada di sebuah kedai makan di Taman Putra di sini, pada 8.15 malam hari yang sama," katanya menerusi kenyataan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...