Khamis, 24 Mac 2016

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA SAMBUTAN PERINGATAN HARI POLIS KE-209

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Pasukan.

Segala puji dan syukur dirafakkan ke hadrat Allah SWT di atas limpahan rahmat-Nya yang masih memberi kesempatan kepada kita untuk meraikan Sambutan Hari Polis Ke-209 kali ini.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah memerah keringat dan bergadai nyawa demi memastikan kedaulatan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat dan negara kekal terpelihara. Khidmat bakti dan kelestarian pengorbanan PDRM terbukti sepanjang 209 tahun kewujudannya dan pada hari ini, kita sama-sama berdiri megah menyambut tarikh keramat 25 Mac sepertimana yang kita lakukan setiap tahun.

Sekalung penghargaan yang tidak terhingga ditujukan kepada pesara-pesara polis di atas perkhidmatan cemerlang yang telah disumbangkan sekian lama kepada nusa dan bangsa. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan rakan-rakan pesara tidak akan dilupakan. Bagi mereka yang telah terlebih dahulu pergi meninggalkan kita, sama-samalah kita berdoa agar roh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh di sisi Allah SWT.


Saya juga ingin menzahirkan rasa penghargaan kepada masyarakat yang sentiasa memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada PDRM untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan mereka. Atas dasar inilah tema “POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA” dikekalkan dalam sambutan tahun ini. Menginsafi ketulusan yang tidak terbalas ini, PDRM mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan selama ini.

Sebagai sebuah organisasi penguatkuasaan yang dinamik, PDRM perlu melakukan transformasi dan bergerak seiring dengan tuntutan semasa, perubahan persekitaran dan ekspektasi masyarakat. Justeru, PDRM perlu sentiasa berusaha untuk memenuhi harapan dan kehendak stakeholders. Selari dengan Pelan Strategik PDRM (PSPDRM) 2015-2020 serta Pelan Integriti PDRM 2016-2020 untuk memacu PDRM ke arah “World Class Policing”, saya telah menggariskan tiga (3) tumpuan utama bagi kita sama-sama mendokong agenda pasukan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara selamat, aman dan sejahtera sejajar dengan visi dan misi PDRM bagi tahun 2016.

Tumpuan Pertama adalah mengawal serta mengekang jenayah dan ancaman media sosial melalui pencegahan dan penyiasatan berkesan. Kita akan terus memperkasakan usaha memerangi jenayah, termasuklah memberi fokus kepada aspek mengawal ancaman media sosial ekoran daripada peningkatan ancaman siber seperti penipuan siber, cubaan pencerobohan, pencerobohan, kod fitnah, gangguan siber, laporan yang mudah terdedah serta penipuan perkhidmatan.

Tumpuan Kedua pula adalah untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan ke arah kepolisan moden di mana PDRM perlu memfokuskan kepada pemantapan keberkesanan tadbir urus yang baik melalui Peluasan Inovasi dan Kreatif, Persempadanan Semula Kawasan Pentadbiran Balai Polis dan Program Infaq PDRM sepertimana yang digariskan oleh PSPDRM 2015-2020.


Manakala Tumpuan Ketiga menjurus kepada pemantapan integriti dan pematuhan standard warga PDRM yang merupakan kesinambungan kepada Tumpuan Ketiga tahun 2013-2015. Ianya memfokus kepada penambahbaikan Kod Etika PDRM sebagai alat kawalan sosial dan panduan yang berfungsi sebagai inspirasi, pencegahan salahlaku, pemeliharaan maruah profesion dan keharmonian.

Selain itu, dalam usaha kita mendokong hasrat Kerajaan untuk mensejahterakan alam sekitar, kita akan sama-sama merealisasikan Blueprint 2.0 Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau Polis Diraja Malaysia demi memelihara dan memulihara alam sekitar.

Mengakhiri perutusan ini, saya menyeru seluruh warga PDRM untuk meningkatkan momentum bagi mencapai prestasi yang lebih cemerlang, serta terus cekal berhadapan dengan apa jua cabaran yang mendatang.

Marilah kita bersatu hati untuk terus maju serta memantapkan lagi imej PDRM, demi memenuhi hasrat dan harapan negara dan masyarakat terhadap kita. Berbekalkan sumpah keramat kita untuk berkorban demi bangsa dan agama, kita akan sentiasa berada di dalam rahmat dan perlindunganNya jua, insyaAllah.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.


TAN SRI DATO’ SRI KHALID BIN ABU BAKAR
Ketua Polis Negara


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...