Jumaat, 1 April 2016

Dadah: Dua Lagi Rakyat Malaysia Ditahan, Polis Thailand Rampas 282Kg 'Ice'

BANGKOK: Dua lagi lelaki Malaysia ditahan Polis Thailand semasa cuba menyeludup dadah ke Malaysia, menjadikan bilangan penyeludup dadah rakyat Malaysia yang ditangkap pihak berkuasa negara ini sejak minggu lepas ialah 23 orang.

Ketua Polis Thailand Jeneral Polis Chakhtip Chaijinda berkata dalam kejadian terbaharu, dua lelaki Malaysia
berumur 59 dan 37 tahun itu ditahan bersama-sama dengan 282 kilogram (kg) 'Ice' di Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao pada 5 petang Selasa.

"Kedua-dua lelaki itu, yang menaiki kereta Nissan Cefiro dan Proton bernombor pendaftaran Thailand, ditahan di pusat pemeriksaan itu selepas menerima maklumat daripada polis Malaysia.

"Mereka masing-masing membawa 175kg dan 107kg dadah yang disorokkan di belakang kereta berkenaan,"katanya kepada pemberita di Biro Pencegahan Narkotik Thailand di sini, Rabu.




Polis Thailad menunjukkan kedua-dua lelaki Malaysia itu pada sidang berita di sini, Rabu, yang turut dihadiri oleh Pengarah Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Mokhtar Shariff.

Minggu lepas, Polis Thailand menumpaskan satu sindiket besar dadah Malaysia selepas menahan 21 lelaki pada 23 dan 24 April di beberapa lokasi di seluruh negara ini dan merampas 226kg 'Ice' dan 8kg Heroin.

Chakhtip berkata tangkapan itu membawa kepada rampasan dadah terbesar oleh Polis Thailand sejak beberapa tahun lepas, dan beliau memuji anggotanya dan kerjasama erat Polis Malaysia di atas kejayaan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Thailand Jeneral Polis Pongsapat Pongcharoen berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan sama ada dadah yang dirampas daripada 23 rakyat Malaysia itu datangnya daripada kilang dadah sama di negara jiran.

"Kami akan menjalankan ujian makmal sama ada dadah itu datangnya dari kilang yang sama, yang hanya menumpukan kepada penghasilan 'Ice' tulen untuk pasaran.
Kami mengesyaki ia sebuah kilang dadah yang besar," katanya.

Beliau berkata kaedah pembungkusan dan logo dadah yang dirampas daripada kedua-dua kumpulan penyeludup Malaysia yang ditahan oleh Polis Thailand minggu lepas dan semalam juga agak sama.

Dadah yang dirampas daripada 21 rakyat Malaysia minggu lepas dibungkus menyerupai bungkusan 'kopi segera' dan 'biskut' manakala dadah yang dirampas semalam dibungkus dengan gambar 'daun teh'.

"Kami akan terus menyiasat," kata Ponsapat, sambil memuji kerjasama erat dengan Polis DiRaja Malaysia sehingga membolehkan mereka membanteras aktiviti penyeludupan dadah kedua-dua lelaki itu.

Ketua Polis Narkotik Thailand Lt-Jen Polis Rawat Klinkesan pula berkata nilai dadah yang dirampas daripada kedua-dua lelaki itu boleh mencecah 6 bilion baht (RM600 juta) jika ia dijual di luar Thailand dan Malaysia.

Siasatan awal polis mendapati adanya penglibatan 'beberapa' rakyat Thailand  dengan dua penyeludup dadah rakyat Malaysia itu, katanya.

Menurutnya kedua-dua lelaki itu mendapatkan dadah berkenaan dari timur laut Thailand, yang lebih dikenali sebagai 'Isan' di sempadan Thailand-Laos, dan dibantu oleh 'konco-konco' tempatan mereka yang membawa dadah itu sepanjang jalan ke Sadao di selatan Thailand.

Kedua-dua lelaki itu mengambil risiko tinggi membawa dadah haram itu  menggunakan laluan jalan raya, katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...