Selasa, 19 April 2016

Dua Penjenayah Warga Indonesia Ditembak Mati

GEORGE TOWN  Dua lelaki warga Indonesia yang baru memecah masuk sebuah rumah di Pulau Tikus di sini ditembak mati selepas berbalas tembak dengan polis di kawasan simpang tiga Jalan Mount Erskine awal pada Isnin.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata dua lagi rakan mereka dapat melarikan diri ke kawasan semak berhampiran kawasan perkuburan Cina tidak jauh dari lokasi kejadian.


“Seorang yang ditembak mati mempunyai pasport Indonesia dengan nama Heri dan tinggal secara haram setelah memasuki negara ini dua tahun lepas, manakala rakannya tidak mempunyai sebarang dokumen. Kedua-dua mereka berusia lingkungan 30-an,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pihak polis menerima laporan mengenai sekumpulan lelaki memecah masuk sebuah rumah di Lengkok Halia, Pulau Tikus pada pukul 2.30 pagi dan kereta yang dinaiki mereka berjaya dikesan di kawasan Pulau Tikus kira-kira 4 pagi.

Polis mengekori kereta jenis Proton Wira itu sehingga ke kawasan perkuburan Cina di Jalan Mount Erskine sebelum memintas dan menahan kereta tersebut, katanya.

“Sebaik anggota polis keluar dari kereta peronda, empat lelaki terbabit turut keluar dari kenderaan mereka dengan seorang daripadanya melepaskan tujuh das tembakan ke arah anggota polis dengan dua tembakan mengenai belakang kereta peronda,” katanya.

Abdul Ghafar berkata pihak polis menemui sepucuk pistol separa auto, tiga peluru hidup dan sebilah parang bersama dua lelaki yang ditembak mati itu.

“Polis turut menemui wang tunai RM5,000, barang kemas dan telefon bimbit yang dipercayai hasil samun di Pulau Tikus di dalam sebuah beg serta merampas pelbagai barang yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah dan samun,” katanya.

Beliau berkata siasatan mendapati kereta yang diguna para penjenayah tersebut dilapor hilang di kawasan Quensbay, Bayan Baru dekat sini pada Oktober lepas.

“Kumpulan yang dianggotai empat rakyat Indonesia ini aktif sejak awal tahun lepas dan dipercayai terlibat dalam 25 kes pecah rumah serta samun membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit.

“Mereka turut terlibat dalam kejadian jenayah di beberapa negeri lain termasuk Selangor dan sentiasa berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia melalui jalan tikus. Mereka juga didapati hidup mewah di negara mereka,” katanya. – BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...