Ahad, 17 April 2016

SPRM SERBU BALAI POLIS DAN TAHAN 5 ANGGOTA POLIS CAWANGAN PENCEGAH JENAYAH

17 APRIL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan lima anggota dari Balai Polis Ayer Itam, Pulau Pinang, selepas serbuan di balai berkenaan awal pagi tadi.

Dalam serbuan jam 3.30 pagi itu, sepasukan pegawai SPRM menahan semua anggota terbabit berhubung rasuah selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Semua anggota terbabit ditahan ketika berada dalam bilik Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) selepas SPRM mengepung balai berkenaan. Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk M Samarajoo, berkata semua lima anggota berkenaan kini masih ditahan untuk siasatan lanjut berhubung maklumat yang diterima.


“Kita tempatkan mereka di lokap SPRM untuk siasatan lanjut dan akan membebaskan mereka dengan jaminan selepas keterangan mereka direkodkan,” katanya kepada BH.


Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut butiran siasatan kes yang dilakukan berhubung tangkapan ke atas anggota polis terbabit. Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab, mengesahkan serbuan itu dan penahanan anggota balai berkenaan oleh SPRM Pulau Pinang dan sedang menunggu laporan dari SPRM.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...