KOTA TINGGI: Polis menganggap kes pecah masuk ke
atas rumah persinggahan pemain bola sepak Johor Darul Ta'zim II (JDT II) Mohd
Zaquan Adha Abd Razak selesai dengan tertangkapnya tiga suspek di Iskandar
Puteri awal pagi Khamis.
Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad
Najmuddin Mohd berkata ketiga-tiga suspek rakyat tempatan yang berumur 23
hingga 39 tahun itu ditahan di rumah persembunyian mereka di Taman Horizon
Hills kira-kira 1.45 pagi.
Katanya, beberapa barangan termasuk
sebuah kereta Hyundai Tucson, Peugeot, beg dan jam tangan pelbagai jenama serta
rantai emas yang dipercayai milik pemain bola sepak itu, turut ditemui semula
dalam operasi penahanan itu.
"Kita turut menemui pelbagai
peralatan untuk memecah masuk rumah antaranya kuku kambing, sepana dan pemotong
besi.
"Kita kini dalam proses untuk
menahan reman mereka bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita
selepas menghadiri Pertandingan Menembak Polis Johor bersama Media di Lapang
Sasar Ladang REM di sini Khamis.
Dalam kejadian di Taman Bukit Dahlia di
Bandar Seri Alam Jumaat lepas, ketiga-tiga suspek dikatakan mengumpil tingkap
bahagian dapur rumah Mohd Zaquan untuk memecah masuk dan melarikan barangan
kira-kira RM200,000.